Wawancara bersama Presiden ASFON WP FOTOGRAFI PERKAHWINAN
Fotografi adalah merupakan proses membuat lukisan atau rakaman imej dengan menggunakan cahaya. Definasinya pula tidak meletakkan ia ke dalam mana-mana kategori khusus kerana ia boleh dianggap sebagai bersifat dokumentari atau seni atau kedua-duanya sekali - bergantung kepada tujuan ianya digunakan. Fotografi sememangnya tidak asing lagi dalam kehidupan kita seharian sehinggakan aplikasinya telah dipermudahkan ke telefon bimbit yang boleh dibawa ke mana sahaja kita pergi.
Di dalam industri perkahwinan, fotografi memainkan peranan penting sehinggakan perkhidmatan fotografi adalah merupakan perkhidmatan yang perlu ada di dalam senarai perkhidmatan yang diperlukan oleh setiap bakal pengantin.
Ikuti temubual PCM bersama En. Yahya Bin Osman, Presiden Angkatan Senifoto Wilayah Persekutuan (ASFON), sebuah persatuan fotografi yang ternama di Malaysia.
Sebagai pengerusi persatuan ASFON WP, apa pendapat saudara mengenai industri perkahwinan dan fotografi?
Pada saya fotografi untuk industri perkahwinan adalah besar tetapi selalu dipandang rendah oleh orang ramai. Berbanding dengan bidang lain, keperluan fotografi perkahwinan adalah lebih tinggi dan ianya berlaku hampir setiap masa dan tidak pernah putus. Selagi ada manusia, dan selagi ada agama, maka selama itulah perkahwinan akan wujud yang memerlukan jurugambar merakamkan satu-satunya detik yang paling berharga ini.
Pada satu ketika waktu dulu, ASFON WP sendiri pernah dikenali sebagai persatuan jurugambar perkahwinan kerana ramai diantara ahlinya menawarkan khidmat fotografi perkahwinan.
Bagaimana pendapat saudara mengenai status atau imej jurugambar perkahwinan yang agak dipandang rendah berbanding dengan jurugambar bidang lain?
Pada pendapat saya, sebenarnya yang meletakkan dan merendahkan status jurugambar perkahwinan ini adalah jurugambar itu sendiri. Kebanyakkan jurugambar sekarang tidak mempunyai wawasan yang jelas. Sepatutnya sebagai seorang jurugambar haruslah mempunyai wawasan agar 20 tahun akan datang dia tidak lagi duduk di takuk yang sama, tetapi harus lebih berjaya seperti mempunyai sebuah studio fotografi perkahwinan sendiri yang boleh menawarkan perkhidmatan one-stop-centre.
Antara sebab lain ialah kekurangan ilmu dan lemah dari aspek perniagaan dan pemasaran. Disebabkan itu, ada di antara mereka meletakkan harga jauh rendah kerana bimbang tidak dapat kerja. Akibatnya mutu hasil kerjanya tidak kemana kerana tidak mahu buat kerja lebih untuk bayaran yang rendah.
Sungguhpun fotografi perkahwinan ini agak dipandang rendah, tetapi mengapa pula masih ramai jurugambar memilih bidang ini?
Fotografi industri perkahwinan lebih digemari oleh kebanyakkan jurugambar atas sebab waktu atau masa kerjanya adalah pada kebiasaannya jatuh pada hari cuti atau hujung minggu. Oleh itu ramai jurugambar yang mempunyai kerja sepenuh masa dalam bidang yang lain akan membuat kerja ini secara sambilan.
Adakah ASFON WP mempunyai sebarang usaha dalam meningkatkan imej fotografi perkahwinan ini?
Sebenarnya bidang fotografi ini sangat luas dan merangkumi berbagai industri. ASFON WP sendiri mempunyai ramai ahli yang berpengalaman yang terdiri dari pelbagai industri. Salah satu daripadanya ialah industri perkahwinan. ASFON WP sedang merangka sebuah perancangan menaikkan taraf jurugambar industri perkahwinan dengan menawarkan beberapa kursus usahawan dan perniagaan fotografi. Di dalam kursus ini, seseorang yang berminat untuk menjadi jurugambar akan dibimbing dari seawal mula berniaga sehinggalah ke tahap mutu hasil kerjanya. Penekanan usahawan ini diutamakan kerana ianya amat penting bagi seseorang jurugambar yang ingin lebih berjaya di dalam bidang ini. Jika kita lihat situasi sekarang, ramai jurugambar yang masih tidak sedar terutamanya aspek pemasaran ? tiada laman web, tiada contoh kerja yang boleh dipasarkan dengan sempurna. Mereka ini, walaupun mempunyai mutu kerja yang bagus, akan susah hendak terus bersaing dengan yang lain.
Saudara bercakap mengenai kaitan jurugambar dengan usahawan, adakah profession jurugambar ini menguntungkan?
Pendapatan seorang jurugambar sememangnya lumayan. Sebagai contoh, jika mereka menjaga mutu dan kualiti hasil kerja mereka, dengan mudah mereka boleh mandapat keuntungan bersih sekurang-kurangnya seribu pada setiap minggu. Ini bermakna pendapatannya adalah 4 ribu sebulan dan lebih menarik lagi mereka hanya kerja pada hujung minggu sahaja.
Adakah ASFON WP memberi bimbingan kepada mereka yang berminat untuk menceburi bidang ini?
ASFON menawarkan Bengkel fotografi perkahwinan ? mengajar apa yg penting untuk dirakam dan diperlihatkan. Fotografi perkahwinan bukanlah semata-mata mengambil pengantin di atas pelamin, tetapi merupakan sebuah rakaman penceritaan dengan persembahan yang menarik. Ini memerlukan ilmu pengetahuan yang boleh ditimba dari tenaga pengajar dan ahli persatuan yang berpengalaman.
Boleh saudara memberikan sedikit tips kepada mereka yang berminat untuk menceburi bidang fotografi ini?
Dunia fotografi sekarang semakin mencabar. Anda memerlukan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang cukup terutamanya untuk bersaing di dalam industri ini. Sedikit tips yang boleh saya beri ialah seseorang jurugambar memerlukan kemahiran pengendalian kamera, pengetahuan merangka subjek dan memahami gambar untuk memahami perasaan. Gunakan prinsip tigasegi: mahirkan tangan yang memegang kamera, gunakanlah otak yang mencari objek, dan gunakanlah hati untuk menghayati gambar yang bakal diambil.
Bagaimana pula dengan tips kepada bakal mempelai?
Bakal mempelai sepatutnya perlu berjumpa dengan 5 hingga 6 jurugambar untuk melihat contoh hasil kerja mereka. Bandingkan dan yang paling penting mengenal pasti gaya fotografi yang disukai. Setiap jurugambar mempunyai keistimewaan dan gaya mereka tersendiri. Adalah lebih mudah untuk membuat pilihan setelah mengetahui gaya mereka dan keputusan hasil kerja nanti sudah pasti menepati citarasa anda!
dipetik dari http://perkahwinan.com.my/main/Industri/?Sub=Article&id=196
Last Updated on Saturday, 15 May 2010 08:29
Hakikat Seorang Jurufoto Perkahwinan
Written by MediaKreatif
Wednesday, 02 December 2009 08:54
Mudah ke nak jd Jurufoto Perkahwinan jika tiada minat & keinginan? Ada org kata mudah, hanya bermula dgn membeli set DSLR... lepas tu, minta kawan2 bg izin utk kita ambil gambar kahwin dia... tadaaa... dh jd jurufoto perkahwinan.... Tp jurufoto ke jurugambar? tu persoalan lain...
Jika ada set DSLR yg mahal, tp keinginan hanya sekadar di pinggiran & minat tidak mengatasi alasan sukar utk menjadi Jurufoto Perkahwinan, lupakan ajer niat tu... Jual ajer DSLR & belilah P&S digital kompak kamera... senang dibawa ke mana shj...
Pengorbanan terhadap keluarga sendiri juga perlu dilakukan.... Sanggup kah? Saya yakin ramai yg tak sanggup... sebab tu ramai jurufoto/jurugambar muncul dlm industri, tetapi tak kurang juga yg menyepikan diri selepas hanya 1 atau 2 tahun... mungkin tak sanggup dileteri isteri sbb selalu tiada di rumah pd hujung minggu???... Mungkin juga penat & tak sanggup bersesak dalam majlis menongkah arus bersama kaum kerabat pengantin yg juga berkeinginan menjadi jurufoto rasmi... hahahaa...
Saya sendiri kdg2 terfikir2 juga semua itu.. Namun sebabkn minat yg mendalam, sy gagahi juga langkah ini. Ilmu dicari di mana2 yg sempat... Penat badan tak dihiraukan... Alhamdulillah, anak & isteri memahami, malah menggalakn saya utk terus berkerjaya...
-Seperti yang tersiar di dalam majalah Pesona Pengantin -Oleh: Hasnuddin Abu Samah, Pengarah Urusan, Adan Impresif. Apabila anda mengupah seorang jurugambar untuk merakamkan gambar majlis perkahwinan anda, beliau akan mengenakan sejumlah harga tertentu bagi perkhidmatannya. Sekiranya anda tidak memahami akan proses yang terlibat dalam menghasilkan gambar perkahwinan, anda tentu akan menganggap harga yang dikenakan adalah tidak setimpal. Berikut saya senaraikan 5 kos utama yang sebenarnya terlibat dalam menghasilkan gambar perkahwinan: 1) Kos Peralatan Kamera Untuk menghasilkan gambar perkahwinan yang baik memerlukan kamera yang berkualiti. Satu set kamera digital yang baik berharga dalam lingkungan RM 10,000. Selain dari kos pembelian, kos pemeliharaan juga diambil kira. Set kamera ini perlu dinaiktaraf, diservis dan diperbaiki jika berlaku kerosakan. Peralatan digital mengalami susut nilai yang lebih cepat berbanding peralatan kamera analog. Dengan mengambil kira semua kos inilah jurugambar mengenakan harga tertentu untuk perkhidmatan mereka. Ini bermakna, selain mengupah jurugambar, anda juga sebenarnya membayar kos ‘sewa’ peralatan mereka. 2) Kemahiran Jurugambar Untuk menjadi seorang jurugambar yang baik, seseorang itu perlulah mempunyai kemahiran fotografi yang tinggi. Selain dari itu, jurugambar juga perlu mempunyai kemahiran lain seperti kreativiti, pandai berkomunikasi, mempunyai citarasa yang tinggi dan kemahiran lain. Kemahiran ini hanya dapat dikuasai dengan pengetahuan, latihan dan pengalaman. Ini bermakna, semakin tinggi kemahiran seseorang jurugambar itu, semakin tinggi pula harga yang akan dikenakan untuk perkhidmatannya. 3) Masa Perkhidmatan Jurugambar adalah seorang profesional. Ini bermakna, beliau hanya akan mendapat bayaran dari kerja perkhidmatan yang dilakukan. Seseorang jurugambar cuma boleh merakam gambar untuk satu majlis sahaja pada sesuatu masa. Ini bermaksud, masa adalah satu faktor yang amat bernilai kepada seseorang jurugambar. Dengan itu, jurugambar mengenakan harga untuk perkhidmatannya berdasarkan berapa lama masa yang perlu diambil untuk sesuatu tugasan. 4) Perkhidmatan Selepas Rakaman Setelah jurugambar selesai merakam gambar untuk majlis perkahwinan anda, tugas beliau sebenarnya tidak habis di situ sahaja. Beliau perlu menyunting kesemua gambar yang telah dirakam dengan memilih gambar yang terbaik sahaja. Sekiranya perlu, gambar yang terpilih akan diperbaiki lagi dari segi kecerahan, kontras, warna, ketajaman, komposisi dan sebagainya. Seterusnya, barulah gambar anda tadi akan dicetak. Selepas cetakan gambar siap, jurugambar akan meneliti kembali kualiti cetakan gambar. Gambar yang tidak sempurna akan dicetak kembali agar mencapai tahap kualiti yang dikehendaki. Akhir sekali, kesemua gambar-gambar tersebut akan disusun ke dalam album sebelum diserahkan kepada pelanggan. 5) Kos material Selain dari kos perkhidmatan yang disebutkan di atas, kos material juga terlibat dalam menentukan harga perkhidmatan seseorang jurugambar. Antara kos material yang terlibat ialah kos pengangkutan, cetakan gambar, album, bil telefon, kos promosi serta lain-lain kos peniagaan. Dengan mengetahui kos sebenar yang terlibat dalam menghasilkan gambar perkahwinan, diharap anda akan lebih menghargai peranan seorang jurugambar walaupun anda terpaksa mengeluarkan sejumlah wang untuk membayar perkhidmatannya. Walau apa pun, sememangnya berbaloi untuk membelanjakan wang kepada sesuatu yang boleh anda tatap sehingga ke akhir hayat. Tambahan pula, ianya adalah gambar hari yang paling bahagia dalam hidup anda.